fbpx

Manfaat Mempelajari Cara Menaip Cepat dan Tepat

Manfaat Mempelajari Cara Menaip Cepat dan Tepat
Pengenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada para pengunjung yang melawati ruangan blog RizQi Copy Centre. Pada hari ini, saya akan berkongsi manfaat mempelajari cara menaip cepat dan tepat serta mengapa pentingnya kemahiran sebegini di masa kelak untuk beberapa jenis karier yang terdapat di luar sana.

Pada zaman globalisasi ini, masyarakat kita telah didedahkan dengan pelbagai jenis peranti yang berada di pasaran melalui pelbagai sumber seperti laman akhbar, laman media sosial dan saluran televisyen. Namun begitu, segelintir masyarakat kita masih buta pada teknologi atau menjadi katak bawah tempurung meskipun teknologi telah berkembang luas kerana masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak mahir menggunakan komputer!

Kebanyakan syarikat yang menyediakan jawatan kosong untuk pejabat atau berkaitan hal-hal pejabat biasanya menyatakan calon wajib memiliki kemahiran komputer dan beberapa perisian (software) yang spesifik pada jawatan tersebut. Mesikpun anda memohon jawatan sebagai Juruteknik, pengetahuan asas untuk menyediakan laporan tentang kerja anda lakukan juga diperlukan!

Salah satu cara untuk anda membiasakan diri dengan menaip cepat adalah menaip secara perlahan-lahan sambil mengingati sedikit demi sedikit tentang kedudukan perkataan di papan kekunci (keyboard). Atau, anda boleh menaip sebarang esei pendek sama ada bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu atau apa sahaja jenis bahasa yang mudah difahami oleh anda bagi melatih saraf motor anda mengingati lokasi perkataan di paparan kekunci. Selepas beberapa minggu, anda pasti dapat menaip dengan cepat dan tepat jika latihan dilakukan secara konsisten.

Tanpa melengahkan masa, saya akan menerangkan beberapa manfaat yang anda boleh dapati melalui kemahiran menaip dengan cepat dan tepat.

1. Menjimatkan Masa

Pertama sekali, memiliki kemahiran ini membolehkan anda menjimat masa anda sama ada untuk menyiapkan dokumen atau menghantar email atau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Bayangkan anda diberikan tugasan esei oleh pensyarah dan jumlah perkataan yang diperlukan sekurang-kurangnya 3000 patah perkataan! Jika pada peringkat separa-mahir, saya jangkakan secara anggaran kasar sekurang-kurangnya 2 jam sahaja diperlukan untuk menyiapkan tugasan tersebut (tidak termasuk masa mencari idea). Bagaimana pula individu yang kurang mahir dalam menggunakan komputer? Pastinya memakan masa yang panjang dan ia tidak memberikan keuntungan pada diri anda!

2. Lebih Aktif dan Produktif

Seterusnya, memiliki kemahiran ini juga membolehkan anda menjadi seorang yang aktif dan produktif dalam melakukan suatu pekerjaan. Jika anda mampu menaip dengan cepat, secara tidak langsung anda mampu melakukan kerja lebih pantas daripada biasa di samping menggunakan masa yang terluang untuk melakukan tugasan lain yang telah diberikan oleh penyelia atau pensyarah anda. Anda bukan sahaja meningkatkan prestasi diri anda malah secara tidak langsung anda juga mempengaruhi orang sekeliling anda untuk mengamalkan budaya kerja yang anda lakukan! Jika ada 100 orang pekerja yang memiliki sikap seperti anda, pasti prestasi syarikat anda bekerja akan meningkat dan jika ia konsisten, peluang untuk kenaikan gaji adalah amat cerah sekali (namun jangan berharap sangat kerana ia bergantung pada pertumbuhan ekonomi negara semasa).

3. Kekal Fokus

Selain itu, menaip dengan cepat dan tepat juga mampu meningkatkan tahap fokus anda terhadap kesalahan yang dilakukan pada struktur ayat ketika anda menaipnya. Apabila anda memiliki tahap fokus yang tinggi, proses kerja anda lebih terurus dan sistematik secara tidak langsung! Jika anda bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan ke atas, memiliki kemahiran menggunakan komputer amat penting sekali dalam menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah dalam tempoh yang singkat! Jangan pandang remeh terhadap kemahiran ini.

4. Meningkatkan Kejituan

Menaip dengan cepat sahaja tidak cukup untuk melayakkan diri anda sebagai seorang yang mahir menggunakan komputer! Anda juga harus belajar untuk memastikan setiap perkataan yang ditaip adalah tepat! Melalui latihan yang betul, anda mampu meningkatkan kejituan secara perlahan-lahan dan secara tidak langsung, anda tidak perlu lagi melihat papan kekunci (keyboard) tanpa berasa ragu-ragu terhadap perkataan yang ditaip.

Kesimpulannya...

Kesimpulannya, memiliki kemahiran menaip cepat dan tepat ini hanyalah salah satu cabang untuk melayakkan diri anda sebagai “Mahir menggunakan Komputer” dan ia bergantung pada jenis pekerjaan yang anda inginkan. Rata-rata syarikat yang terdapat di Malaysia sama ada syarikat kecil mahu pun syarikat besar, mereka inginkan seseorang yang boleh meningkatkan produktiviti syarikat mereka secara langsung dalam tempoh yang singkat.

Jika anda tidak mempunyai kemahiran seperti ini, ramai lagi graduan atau individu yang lebih layak untuk menggantikan ruang calon untuk jawatan tersebut. Saya sedar bahawa terdapat lagi segelintir individu yang kurang mahir dalam menggunakan komputer dan ia merupakan suatu kerugian pada diri anda jika anda tidak melatih dan memperbaikinya. Anda boleh cuba ujian menaip pantas dan tepat di laman web ini. Klik butang di bawah. Kongsikan result anda di ruangan komen! Terima kasih kerana membaca perkongsian saya kali ini.

Untuk pengetahuan anda, jika anda mendapat skor 50 WPM dan ke atas melalui ujian ini, anda sudah berada di tahap separa mahir dan jika anda serius untuk memohon jawatan sebagai Penyelaras Kemasukan Data (Data Entry Coordinator) atau Kerani Senior (Senior Clerk), anda haruslah sekurang-kurangnya mempunyai skor melebihi 80 WPM. Oh! Sebelum saya terlupa, anda boleh masukkan skor ujian anda ini ke dalam ruangan ‘Kemahiran’ Resume anda! Ia mampu mempengaruhi kedudukan anda daripada calon-calon yang lain.

Don't Forget to Share!
Ruangan Komen